003 : Surah Ali Imran
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang
Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
[3]
Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan
mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan
dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
[4]
Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga
yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah
itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi
berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
[5]
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan
juga yang ada di langit.
[6]
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang
dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[7]
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran.
Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas
dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau
pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang
samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan
menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya
kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar
dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan
maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya
(tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh
serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman
kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil
pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.
[8]
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah
kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang
melimpah-limpah pemberianNya.
[9]
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian
manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak
padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
[10]
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak
sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan
mereka itulah bahan bakaran api neraka.
[11]
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang
yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu
Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha
berat azab seksaNya.
[12]
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan
(di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan
itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".
[13]
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan
yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang
pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari
golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan
pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan
Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan
pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang
memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
[14]
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak
bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih;
dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah
kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang
sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
[15]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan
yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa
disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/
isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah),
Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
[16]
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari
azab neraka";
[17]
(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan
orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat
(akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan
Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
[18]
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti),
bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa
mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang
yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai
ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka
pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata
kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang
kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera
hitungan hisabNya.
[20]
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai
Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian
juga orang-orang yang mengikutku". Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi"
(orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam
yang aku bawa itu)?" Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka
telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam),
maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.
[21]
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan
membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang
yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang
mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,
dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
[23]
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang
(Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada
Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul)
di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak
(seruan dan hukum Kitab Allah itu).
[24]
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak
sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh
dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh
dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
[25]
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada
hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan
kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka
masing-masing tidak akan dianiaya.
[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,
dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau
kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan
Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan
Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[27]
"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan
Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga
yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi
rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
[28]
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat
dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan
(larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang
ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu
beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah
tempat kembali.
[29]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada
kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[30]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja
kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat
amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu
tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan
amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap
kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan
kepada hamba-hambaNya.
[31]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[32]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu,
jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang kafir.
[33]
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi
Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka
masing-masing).
[34]
(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari
setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Mengetahui.
[35]
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan
kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari
segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah
nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
[36]
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku
telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak
lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan
memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku
telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian
juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan
disingkirkan)".
[37]
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan
penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta
diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk
untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di
sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati
(buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah
memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
[38]
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku!
Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau
sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".
[39]
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya):
"Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan
(mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada
Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
[40]
Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang
anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah berfirman:
"Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya".
[41]
Nabi Zakaria berkata lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang
menunjukkan isteriku mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau tidak
akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan
dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak,
dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam
dan pada waktu pagi".
[42]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam!
Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh
kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
[43]
"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan
sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk ".
[44]
Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan
kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka
ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di
antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad)
tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga
dan memelihara Maryam).
[45]
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan
khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau
akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu:
Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia
juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
[46]
"Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian,
dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."
[47]
Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak,
padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman;
"Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia
berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: `
Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."
[48]
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga
kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
[49]
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan
menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan
membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu
dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia
seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan
orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali
orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.
Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat)
bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh
Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
[50]
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab
Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu
sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku
datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu
bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
[51]
"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu
kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".
[52]
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari
mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang
"Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah
penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah
(wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah
bulat-bulat kepada Allah).
[53]
"Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan
kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi
saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".
[54]
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak
membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah),
Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
[55]
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu
dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari
orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi
orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian
kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan)
tentang apa yang kamu perselisihkan".
[56]
Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab
yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa
pun yang dapat menolong.
[57]
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah
akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada
orang-orang yang zalim.
[58]
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai
Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan
kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan
yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
[59]
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti
(kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman
kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.
[60]
Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau
menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
[61]
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah
engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah
kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami
serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita
memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat
Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".
[62]
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[63]
Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[64]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang
bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan
Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula
sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang
yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab
itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah
kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
[65]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi
Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada
(zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan
akal?
[66]
Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang
perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam
Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada
pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah
mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
[67]
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang
pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai
seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula
bukanlah dari orang-orang musyrik.
[68]
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak
mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad)
ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah
Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
[69]
Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat
menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri,
dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).
[70]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah
padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?
[71]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah,
dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
[72]
Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada
Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi,
dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu)
kembali menjadi kafir semula".
[73]
Dan (mereka berkata lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang
yang mengikut ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula:
"Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah
diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi
Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah
di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha
Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.
[74]
Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan
(ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[75]
Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan
sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna)
kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan
sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu
menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya
kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu
berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah
berdusta).
[76]
Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang
menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
[77]
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan
menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat
bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan
mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan
membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
[78]
Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya)
yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah
maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia
bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya)
dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata
dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
[79]
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan
hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai:
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan
perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu
menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu
dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan
kerana kamu selalu mempelajarinya.
[80]
Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai
tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi
orang Islam?
[81]
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan
firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada
kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang
ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah
kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada
mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku
secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan
menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku
juga menjadi saksi bersama-sama kamu."
[82]
Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka
mereka itulah orang-orang yang fasik.
[83]
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari
ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit
dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka
dikembalikan.
[84]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang
telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada
Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada
apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari
Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan
kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)".
[85]
Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima
daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
[86]
Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur
ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa
Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan
petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.
[87]
Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya
sekalian orang-orang (yang beriman).
[88]
Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka
pula tidak diberi tempoh atau perhatian;
[89]
Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan
mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[90]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka
bertambah kufur lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah
orang-orang yang sesat.
[91]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak
sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi,
walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan
mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh
seorang penolong pun. JUZUK KEEMPAT
[92]
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang
sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan
sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[93]
Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang
diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab
Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika ada makanan yang diharamkan kepada
kamu - wahai Bani Israil - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu
Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[94]
(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah
yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[95]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka
ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan
bukanlah ia dari orang-orang musyrik.
[96]
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada
Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk
hidayah bagi umat manusia.
[97]
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di
antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman
tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan
mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang
kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya
(tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
[98]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan
keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu
lakukan?"
[99]
Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang
beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan
Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? "Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
[100]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan
kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
[101]
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat
Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan
sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh
petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
[102]
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan
Islam.
[103]
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati
kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu
dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah
berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah
selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk
hidayahNya.
[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat
demikian ialah orang-orang yang berjaya.
[105]
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah
berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan
mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.
[106]
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih
berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang
telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah
kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka
disebabkan kekufuran kamu itu".
[107]
Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam
limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.
[108]
Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad)
dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada
sekalian makhlukNya.
[109]
Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan
kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
[110]
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah)
umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan
melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan
Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik
bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka:
orang-orang yang fasik.
[111]
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu,
kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan
jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu
(kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.
[112]
Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada,
kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah
sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan
(dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan
ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan
tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka
sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).
[113]
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam
dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat
Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan
sembahyang).
[114]
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara
yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan
mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang
demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
[115]
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan
diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
[116]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka,
tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan
mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
[117]
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk
amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk,
yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu
membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah
yang menganiaya diri sendiri.
[118]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan
dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan
berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa
yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan
mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya
telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu)
memahaminya.
[119]
Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah
yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu
juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada
Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami
beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung
jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): "Matilah
kamu dengan kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan
segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[120]
Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian)
menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira
dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan
membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan
apa yang mereka lakukan.
[121]
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah
ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada
tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[122]
(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah
semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan
Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya
orang-orang yang beriman itu bertawakal.
[123]
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam
peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya
dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu
bersyukur (akan kemenangan itu).
[124]
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman
(untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah
membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"
[125]
Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka
(musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu
dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
[126]
Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi
khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan
(ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang
Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[127]
(Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari
orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali
dengan hampa kecewa.
[128]
Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang
ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat
mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang
yang zalim.
[129]
Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia
mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang
dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[130]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan
berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu
berjaya.
[131]
Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
[132]
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
[133]
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala
langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
[134]
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan
orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan
kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat
perkara-perkara yang baik;
[135]
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri
sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka -
dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan
mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang
mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
[136]
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,
dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang
beramal.
[137]
Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan)
peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi,
kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan
(Rasul-rasul).
[138]
(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[139]
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan
Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu),
padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai
kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
[140]
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya
kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka
yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini
dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara
sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya
Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[141]
Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa
mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.
[142]
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata
kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan
bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang
yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
[143]
Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil)
sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun
menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).
[144]
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh
beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati
atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan
(ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan
mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala
kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya
itu).
[145]
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah,
iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan
(dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan
bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat,
kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan
pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
[146]
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai
orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan
apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah
tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengasihi orang-orang yang sabar.
[147]
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan
kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam
perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
[148]
Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum),
dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya).
Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
[149]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya
mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu
orang-orang yang rugi.
[150]
(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan
Dia lah sebaik-baik Penolong.
[151]
Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka
mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak
menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian)
tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi
orang-orang zalim.
[152]
Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan)
kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan
izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan)
dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar
perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai
(kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki
keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat,
kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman
dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata
dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya
kepada orang-orang yang beriman.
[153]
(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang
Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan
yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya).
Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan
(kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan
(Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu,
dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
[154]
Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah
menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi
segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain
yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan
yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah
bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?"
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu
semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut
peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang
mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada
sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita
tidak terbunuh di tempat ini?" katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di
rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh
Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa yang berlaku di
medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada
kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah
sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[155]
Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada
hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu,
sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari
perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu);
dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[156]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang
(munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka
pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau
terbunuh): "Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan
tidak terbunuh". (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya
Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu:
penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang
mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.
[157]
Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau
kamu mati (mati biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya
keampunan dari Allah dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang
mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis
kesenangan hidup).
[158]
Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah
kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).
[159]
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai
Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat
dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka
lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka
lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah
dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila
engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang
bertawakal kepadaNya.
[160]
Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang
akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang
akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan
(ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
[161]
Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan
harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan
bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap
seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang
mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).
[162]
Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya
mendapat kemurkaan dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam,
dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[163]
Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya),
mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan
Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.
[164]
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang
beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa
mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan
Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan
mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan
Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan
sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam
kesesatan yang nyata.
[165]
(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu
ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti
itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam
peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini?
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu
sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[166]
Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera
- di medan perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan
Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya)
beriman.
[167]
Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada
mereka: "Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau
pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu)". Mereka menjawab: "Kalaulah
kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut kamu
(turut berperang)". Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada
kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang
tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang
mereka sembunyikan.
[168]
Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh
di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: "Kalaulah
mereka taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh". Katakanlah
(wahai Muhammad): "Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu
orang-orang yang benar".
[169]
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur
Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup
(secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
[170]
(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah
dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai
(saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di
belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak
ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
[171]
Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan
(ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
[172]
Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar
menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di
medan perang Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan
yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.
[173]
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka:
"Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu,
oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman
mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus
(yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
[174]
Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah
kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula
menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat
besar.
[175]
Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan)
menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh
itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan
perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[176]
Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang
segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak
sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah
menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat
kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.
[177]
Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman
tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun,
dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[178]
Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan
(mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan
mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh
azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).
[179]
Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan
yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap
menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (manufik) daripada yang baik
(beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu
perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang
dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib).
Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan
bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.
[180]
Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan
bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan
dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.
Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat)
yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu
orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?"
[181]
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang
mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami
(Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh
Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan
kepada mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar -
[182]
(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh
tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba-hambanya."
[183]
Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata: "Sebenarnya Allah telah perintahkan kami,
supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada
kami korban yang dimakan api. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah
datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu
membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan
itu)?
[184]
Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau
berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah
didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata
dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.
[185]
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat
sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari
neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat
kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
[186]
Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi
sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab
dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan
cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa
maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki
diambil berat (melakukannya).
[187]
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah
diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab
itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".
Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka
menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa
yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.
[188]
Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang
bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji
dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka
akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi
sakitnya.
[189]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang,
ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal;
[191]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan
duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang
kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami
dari azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka
maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak
akan beroleh seorang penolong pun;
[193]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang
menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami
pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah
daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang
yang berbakti;
[194]
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada
kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat;
sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".
[195]
Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya
Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama
ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari
setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan
ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti
(dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang
(untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) -
sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya
Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang
sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".
[196]
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan
orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan
kepada mereka).
[197]
(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian
tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
[198]
Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya,
sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah.
Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang
berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).
[199]
Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan
(kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang
diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak
menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka
itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.
[200]
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran
dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran
kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan
kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada
Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).